Batalkan pengiktirafan Baitulmaqdis ibu negara Israel

Gaza City: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh menggesa presiden dipilih Joe Biden yang memenangi pilihan raya Amerika Syarikat (AS), menarik balik apa yang digelar oleh Presiden Donald Trump “deal of the century”, menurut Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Haniyeh mahu pentadbiran Biden menghapuskan pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan kedutaan berpindah ke bandar itu.

Perjanjian yang diterajui Trump itu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf kedaulatan rejim zionis terhadap sebahagian besar wilayah yang diduduki di Tebing Barat.

Haniyeh mendesak Biden, “memperbaiki tindakan AS yang tidak adil terhadap rakyat (Palestin) yang bersekongkol dengan (Israel) untuk menindas dan menceroboh kedaulatan wilayah Palestin.”

Pemimpin Hamas itu menuntut pemerintahan AS yang baharu, menghormati kehendak rakyat Palestin dan pilihan demokratik mereka dan tidak terbabit dengan dasar yang bertujuan menindas.

Hamas juga mahu AS tidak meneruskan usaha memulihkan hubungan diplomatik beberapa negara Arab dengan Israel yang dilaksana pentadbiran Trump sebelum ini.

Media utama AS membuat unjuran Biden, 77, memenangi pilihan raya presiden selepas menewaskan Trump. – BERNAMA