Bawa isteri orang denda beli kambing

Palembang: Padah membawa isteri orang keluar makan lewat malam, seorang pegawai kanan di syarikat telekomunikasi di Indonesia terpaksa membayar denda iaitu seekor kambing.

Ia selepas Lembaga Adat Kelurahan Sukasari menjatuhkan hukuman itu susulan laporan yang dibuat oleh suami wanita berkenaan

Portal Kompas melaporkan kejadian itu berlaku di Jambi, Sumatera, bulan lalu dan ia membabitkan seorang pegawai kanan serta wanita berstatus isteri orang.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan keluar makan bersama wanita terbabit untuk tempoh tiga jam.

Berdasarkan siasatan lembaga adat itu, wanita itu dijemput lelaki berkenaan di satu lokasi pada jam 12 tengah malam.

Mereka dikatakan menjamu selera di satu tempat yang terletak 30 minit dari Sarolangun.

Lelaki terbabit menghantar wanita berkenaan pulang ke rumah pada jam 3 pagi. Bagaimanapun, suami wanita itu tidak dapat menerima perbuatan itu dan melaporkannya kepada lembaga adat.

Ketua Lembaga Adat Kelurahan Sukasari, Syargawi berkata, siasatan pihaknya mendapati lelaki terbabit bersalah kerana membawa wanita berstatus isteri orang keluar makan pada tengah malam tanpa pengetahuan suaminya.

“Kami membuat keputusan untuk mendenda lelaki berkenaan dengan membeli seekor kambing dan denda lain termasuk dalam bentuk beras, kelapa serta wang,” katanya.