Bayi baru lahir jarang dijangkiti koronavirus

London: Bayi yang baru lahir mempunyai kebarangkalian sangat kecil untuk dijangkiti Covid-19 ketika berada di wad hospital.

FOX News melaporkan ia berdasarkan hasil kajian di United Kingdom terhadap 10,000 kelahiran di hospital di negara itu, antara 1 Mac hingga 30 April lalu.

Kajian diterbitkan di dalam jurnal perubatan The Lancet itu juga menyatakan daripada angka itu hanya 66 kes membabitkan bayi dijangkiti virus itu.

Menurut kajian berkenaan, daripada 66 bayi itu, 28 daripadanya didapati mengalami masalah kesihatan serius.

“Seorang daripada bayi itu meninggal dunia, tetapi bukan disebabkan virus berkenaan,” menurut kajian itu.

Kajian sama juga menunjukkan bayi mempunyai kebarangkalian kecil dijangkiti Covid-19, meskipun ibu disahkan positif virus itu.

Dalam pada itu, hospital di Amerika Syarikat (AS) kini berdepan masalah bagi menempatkan pesakit Covid-19, susulan peningkatan kes jangkitan virus berkenaan di negara itu.

Pada Rabu, lebih 56,000 individu dijangkiti virus itu dirawat di hospital di seluruh AS.

Susulan itu, pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan lebih tegas.

Di New York, Gabenor Andrew Cuomo mengarahkan premis dengan lesen menjual arak termasuk bar dan restoran menutup operasi jam 10 malam.

Selain itu, arahan sama berkuat kuasa untuk gimnasium.

Berdasarkan angka daripada laman Worldometer, sebanyak 52 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan lebih 1.29 juta kematian.

AS kekal menjadi negara yang paling terjejas dengan 10.7 juta kes dengan lebih 247,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19