Bayi berusia 2 hari kena tikam 100 kali

New Delhi: Menyayat hati apabila seorang bayi perempuan yang baru dua hari dilahirkan di India ditemui mati dipercayai ditikam 100 kali dengan pemutar skru.

Gulf News yang memetik laporan media tempatan melaporkan mayat mangsa ditemui di Bhopal, Madhya Pradesh, pada Isnin lalu.

Bayi malang itu dibalut dengan selendang dan ditinggalkan berhampiran kuil di kawasan perumahan di perumahan Ayodhya Nagar.

Menurut laporan media tempatan, pegawai kanan Polis Ayodhya Nagar, Renu Merab mengesahkan menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa jam 7 pagi.

Katanya, terdapat kesan luka dengan lubang pada badan mangsa sebaik selendang yang membalut badannya ditanggalkan.

“Kami mengesyaki bayi itu dilahirkan di rumah, bukan di hospital sebelum mangsa dibunuh.

“Selepas membunuh bayi berkenaan, suspek disyaki meninggalkan mayat berhampiran kuil pada waktu malam sehingga badannya dicederakan haiwan.

“Bedah siasat mendapati mangsa ditikam dengan pemutar skru sekurang-kurangnya 100 kali,” katanya.

Menurut Renu, identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya menjalankan siasatan termasuk merujuk rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, kes berkenaan menarik perhatian warganet yang menyelar tindakan suspek yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.