Beijing izinkan penerbangan dari lapan negara

BEIJING: China dijangka membuka semula laluan penerbangan antarabangsa ke Beijing dari beberapa negara yang mencatatkan angka rendah bagi jangkitan Covid-19, kata pihak berkuasa penerbangannya.

Peraturan baharu itu bakal dilaksanakan selepas pembekuan perjalanan selama lima bulan dan hanya untuk penerbangan dari Thailand, Kemboja, Pakistan, Greece, Denmark, Austria, Sweden dan Kanada, yang mencatatkan kes import rendah.

Namun, penumpang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba dan perlu mengambil ujian Covid-19 sebanyak dua kali.

“Bermula 3 September, penumpang penerbangan antarabangsa ke Beijing akan dibenarkan masuk secara berperingkat,” kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dalam kenyataan.

Namun, ia tidak menjelaskan sama ada penumpang perlu berstatus warganegara bagi lapan negara yang disenaraikan.

Sejak penhujung Mac, penerbangan ke Beijing dilencongkan ke bandar lain di China di mana penumpang perlu menjalani saringan Covid-19.

Sehingga Selasa lalu, 511 penerbangan antarabangsa dilencongkan.

Aktiviti di Beijing dilihat kembali normal, walaupun pengambilan suhu menjadi perkara biasa dan beberapa tempat memerlukan individu mendaftar menggunakan kod QR di aplikasi kesihatan.

Kelonggaran peraturan penerbangan itu dibuat selepas China mencatatkan kes jangkitan baharu yang perlahan di mana hanya lapan kes dilaporkan hari ini.