Bekas PM Sudan meninggal dunia akibat Covid-19

Khartoum: Bekas Perdana Menteri Sudan Sadiq al-Mahdi meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini, lapor Parti Umma Nasional Islam.

Sadiq yang juga menerajui kepimpinan Parti Umma Nasional Islam menerima rawatan di Emiriah Arab Bersatu tiga minggu lalu selepas didapati positif Covid-19.

“Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Sudan atas kematian beliau,” kata jurucakap parti itu dalam kenyataannya.

Sadiq yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun itu adalah perdana menteri terakhir terpilih secara demokratik di negara itu sebelum digulingkan pada 1989.

Sadiq digulingkan bekas presiden negara itu, Omar al-Bashir sebelum rampasan kuasa tentera disokong pemimpin Islam.

Sadiq dikenali sebagai tokoh pembangkang yang kuat sepanjang pemerintahan Omar dan menjadi individu penting di sebalik tunjuk perasaan besar-besaran yang akhirnya mendorong tentera menggulingkan presiden itu tahun lalu.

Sejak penggulingan itu, Omar dipenjarakan di Penjara Kober dengan kawalan keselamatan tinggi dan didapati bersalah Disember tahun lalu kerana melakukan rasuah.

Omar kini diadili di atas peranannya dalam kudeta 1989, malah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mendakwanya atas tuduhan melakukan jenayah perang dalam perang Darfur pada 2003.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Omar dan tertuduh bersama – termasuk bekas pegawai atasan – boleh dikenakan hukuman mati.

Sudan setakat ini mencatatkan hampir 17,000 kes Covid-19 dengan lebih daripada 1,200 kematian.