Beli ‘online’ sambil tidur

London: Masalah penyakit jarang ditemui yang dialami seorang wanita di United Kingdom ini menyebabkan dia melakukan perbuatan pelik ketika tidur termasuk berbelanja dalam talian.

Kelly Snipes, 38, tanpa sedar pernah memesan gelanggang bola keranjang ketika tidur dan hanya menyedari perbuatannya itu selepas menerima e-mel resit pembelian barangan berkenaan.

Ibu muda tinggal di Basildon, Essex itu, berkata, sebuah lori membuat penghantaran set lengkap gelanggang bola keranjang yang dibelinya dari platform eBay keesokannya.

“Saya terpaksa menolak penghantaran itu. Saya tidak pernah meletakkan maklumat kad kredit apabila saya membeli barangan dalam talian kerana semuanya disimpan dalam telefon bimbit saya.

“Semuanya ada dalam telefon saya dan hanya boleh diakses menerusi sentuhan,” katanya seperti dipetik portal Daily Star.

Selain gelanggang bola keranjang, dia juga pernah memesan ratusan biskut dan manisan.

Katanya, dia bersyukur suaminya, Jamie, 40, sentiasa menyokong ketika dirinya berdepan masalah itu.

“Kami cuba menetapkan langkah keselamatan untuk memastikan saya sentiasa selamat.

“Saya juga meminta suami berjaga memerhati saya ketika tidur, kadangkala dia juga tertidur,” katanya.