Beli tanah di bulan

Karachi: Terlalu kasih terhadap isterinya menyebabkan seorang lelaki di Pakistan membeli satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) tanah di bulan sebagai hadiah perkahwinan mereka.

Portal Gulf News melaporkan Sohaib Ahmed, 23, membeli tanah itu pada harga AS$45 (kira-kira RM186) melalui program Inisiatif Pendudukan Bulan (LSI) Pembelian itu disahkan oleh LSI melalui satu sijil rasmi.

Malah, nama Sohaib Ahmed juga jelas tertera pada sijil berkenaan.

Sebelum ini, beberapa aktor Bollywood antaranya Shah Rukh Khan juga dilaporkan mempunyai tanah di sana selepas dihadiahkan oleh seorang peminatnya.

Selain itu, seorang lagi aktor Bollywood yang baru meninggal dunia pada Jun lalu iaitu mendiang Sushant Singh Rajput juga dikhabarkan memiliki sebidang tanah di bulan.

Menurut laman web LSI, tanah di bulan hanya ditawarkan kepada individu atau syarikat bagi membiayai misi eksplorasi dan pembangunan sumber di bulan.

Selepas berjaya memiliki tanah, pemilik ‘berhak’ untuk tinggal di tanah itu.

Dalam pada itu, pasangan itu dilaporkan berjaya mendapatkan semua dokumen berkaitan yang dikeluarkan Sea of Vapor Society.

Sohaib berkata, dia mendapat inspirasi untuk membeli tanah di bulan daripada mendiang Rajput.

Isterinya, Madiha berkata, ramai yang menyangkakan pembelian tanah di bulan hanya gurauan.

“Ramai beranggapan ia gurauan, tetapi sebagai saya menunjukkan dokumen mereka baru mempercayainya,” katanya.

Dalam pada itu, Gulf News melaporkan bahawa ada banyak syarikat dalam talian menawarkan penjualan tanah di bulan.

Realitinya, India dan Pakistan sudah menandatangani perjanjian antarabangsa pada 1967 yang melarang mana-mana pihak untuk membuat tuntutan terhadap tanah di angkasa lepas.

Perjanjian The Outer Space Treaty itu sehingga kini sudah ditandatangani oleh 105 negara.

Antara lain turut menghalang mana-mana pihak menempatkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di angkasa lepas.

Selain itu, tanah berkenaan dianggap sebagai warisan manusia dan tidak boleh dimiliki oleh mana-mana negara atau individu.