Beli tempat duduk kereta api untuk kucing

Moscow: Kerana sayangkan kucing peliharaannya, seorang lelaki di Rusia membeli semua tempat duduk dalam kompartmen kereta api di bandar ini, lapor The Moscow Times.

Gambar tiga ekor haiwan comel itu yang bersandar di tingkap dan duduk di atas kerusi sambil melihat pemandangan di luar, tular di media sosial negara berkenaan sejak awal bulan lalu.

“Seorang penumpang dari Moscow menuju ke Anapa (bandar resort di selatan) membeli kesemua tempat duduk dalam kompartmen untuk kucingnya,” tulis seorang pengguna media sosial yang dikongsikan di Telegram, What’s Up in Moscow.

Selain itu pengguna media sosial cepat melabel gambar berkenaan sebagai ‘kotokupe’ yang bermaksud kompartmen kucing.

Menurut akhbar kerajaan Rossiiskaya Gazeta, perkhidmatan kereta api Rusia kendalian North Caucasus Railway bagi wilayah Krasnodar mendapatkan maklumat lanjut daripada konduktor kereta api mengenai perkara itu.

Russia membenarkan penumpang membawa haiwan peliharaan menaiki kereta api awam, namun perlu membayar harga tempat duduk dan binatang diletakkan di dalam sangkar.