Belum ada jodoh

Pyongyang: Desas-desus mengenai siapa calon pengganti pemimpin Korea Utara masih menimbulkan tanda tanya masyarakat antarabangsa.

Ia memandangkan Korea Utara tidak pernah secara terbuka menyatakan siapa pengganti Jong Un (gambar) sekiranya lelaki itu meninggal dunia.

Spekulasi pengganti Jong Un kembali hangat diperkatakan ketika dakwaan pemimpin itu mengalami masalah kesihatan, baru-baru ini

Jong Un, 36, dikatakan koma dan adik perempuannya, Kim Yo Jong, 32, didakwa mengambil alih pentadbiran sementara.

Bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui Jong Un mempunyai seorang lagi abang lelaki bernama Kim Jong Chul, 38.

Namun, pemerhati politik berpendapat individu itu bukanlah pilihan tepat untuk mengambil alih pemerintahan negara.

BBC melaporkan Jong Chul yang juga anak ketiga daripada lima anak Kim Jong Il dipercayai tidak pernah tertarik dengan politik atau kuasa, sebaliknya lebih meminati muzik.

Malah, bapanya sudah mengabaikan individu ini sebagai calon penggantinya pada 2009.

Abang tiri Jong Un, Kim Jong Nam pula tidak disukai sehingga dibunuh menggunakan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Februari 2017.

Jong Un kemudian mengambil alih tampuk pemerintahan Disember 2011 selepas kematian bapanya.

Namun, tidak banyak maklumat diperoleh berhubung Jong Chul.

Dikatakan, lelaki itu menerima pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa Switzerland sebelum kembali ke Pyongyang, di mana beliau belajar di sebuah universiti ketenteraan dan sebelum bekerja di jabatan propaganda.

Ibunya, Ko Yong Hui adalah wanita berketurunan Jepun dan Korea yang dilahirkan di Osaka.

Jong Chul dikatakan pemuzik berbakat dan terbang ke seluruh dunia untuk menonton konsert Eric Clapton seperti di Jerman pada 2006, Singapura pada Februari 2011 dan di Royal Albert Hall, London pada Mei 2015.

Bagaimanapun, Nikkei Asian Review melaporkan perisik Korea Selatan mendakwa lelaki itu sudah tidak apa-apa kuasa pada 2016 dan hidup dalam ‘pengawasan’ pemerintah.

Bekas diplomat Korea Utara yang sudah melarikan diri ke Korea Selatan, Thae Yong Ho pula berkata, Jong Chul adalah individu yang sangat sopan.

Dalam pada itu, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA menyiarkan apa yang didakwa didakwa sebagai gambar terbaharu, Jong Un, baru-baru ini.

Ia seakan bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa pemimpin Korea Utara itu berada dalam keadaan koma.