Berang parkir ‘dicuri’, balut kereta jiran dengan plastik hitam

LONDON: Akibat hilang sabar parkir kenderaannya sering ‘dicuri’, seorang lelaki nekad membalut kereta jirannya dengan plastik hitam.

Mirror UK melaporkan, Tobe Bailey, 49, sudah tidak tahan dengan sikap jirannya yang sering meletakkan kenderaan di parkir miliknya.

Tobe yang menetap di Margate, Kent bersama isteri dan empat anaknya pernah memberi peringatan sebelum ini dengan meninggalkan nota di atas cermin kereta jirannya.

Namun, peringatannya tidak diendahkan dan keadaan itu memaksanya memberi pengajaran dengan cara lain.

“Saya dan isteri membelanjakan 2,000 Pound Sterling (kira-kira RM10,952) untuk ruang parkir itu tahun lalu dan ada papan tanda larangan meletak kenderaan selain milik saya di situ.

“Namun, masih ada yang parkir di situ dan perkara berlaku dua hingga tiga kali dalam seminggu.

“Geram apabila melihat kenderaan lain parkir di situ selepas pulang dari kerja, malah bukan saja saya tetapi anak perempuan turut mengalami masalah sama,” katanya.

Tobe berkata, taktiknya berhasil apabila jirannya tampil meminta maaf atas perbuatannya.

“Pelakunya adalah wanita muda yang baru berpindah di sebelah rumah saya.

“Dia menyifatkan cara saya itu kelakar tetapi memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya,” katanya.

Menurut Tobe, dia puas kerana dapat menyampaikan mesej dengan cara yang sinis tanpa ada perbalahan.

Difahamkan, ia bukan pertama kali Tobe bertindak sebegitu kerana melakukan perkara sama terhadap salah seorang jirannya dengan memasang jek pada tayar kerana enggan mengalihkan kenderaan.