Berbogel kejar babi hutan larikan laptop

Berlin: Gambar seorang lelaki yang sedang berjemur sambil berbogel di tepi tasik di sini tular selepas dia dilihat mengejar babi liar yang melarikan komputer riba miliknya.

Lelaki itu dilihat berlari mengejar babi hutan itu Tasik Teufelssee, berdekatan Hutan Grunwell di Berlin, Jerman.

Adele Landauer yang merakamkan gambar itu dan meletakkan di akaun Instagram miliknya berkata, babi hutan betina itu bersama dua anaknya keluar dari hutan berdekatan untuk mencari makanan.

“Selepas binatang itu memakan pizza yang diambil daripada bag milik salah seorang pengunjung tasik, kemudian ia dilihat mengambil bag kuning berisi komputer riba itu.

“Pemilik bag itu yang sedang berehat terus bangun dan mengejarnya. Kami semua kagum dengan dia kerana fokus mengejar babi hutan dan berjaya memperolehinya kembali.

“Sebaik dia kembali semula bersama bag itu, kami semua bertepuk tangan,” katanya.

Adele berkata dia ada menunjukkan gambar itu kepada lelaki berkenaan dan turut memohon izin untuk berkongsi gambar itu di media sosial miliknya.

“Lelaki itu ketawa ketika saya menunjukkan gambar itu dan turut memberi izinnya.

“Saya percaya kehidupan kita mempunyai sisi lucu dan kita patut berkongsi kenangan ini dengan orang lain,” katanya.