‘Berkumpul’ di majlis kahwin

RABAT: Seramai 12 penganut Yahudi di Maghribi maut akibat Covid-19 selepas menghadiri majlis perkahwinan dan acara keagamaan, bulan lalu.

Angka itu agak besar memandangkan ia mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan disebabkan wabak itu di negara berkenaan.

Majlis perkahwinan itu dikatakan diadakan sehari sebelum pelaksanaan perintah berkurung di Maghribi.

Gulf News melaporkan kumpulan masyarakat itu menghadiri satu majlis perkahwinan di bandar pesisir pantai di Agadir.

Menurut Ketua Majlis Komuniti Yahudi, Serge Berdugo, acara itu turut dihadiri ramai tetamu dari luar negara.

“Beberapa hari selepas itu, mereka berjumpa sekali lagi bagi meraikan Festival Purim di Casablanca.

“Puluhan orang turut dijangkiti dan kini dalam proses penyembuhan,” katanya yang turut menyatakan komuniti Yahudi di negara itu berjumlah lebih 2,500 orang.

Mangsa yang maut itu termasuk seorang warga emas berusia 83 tahun dan tiga saudara kepada Ketua Parti Buruh di Israel, Amir Peretz.

Peretz mengesahkan kematian mereka di Facebook dan menulis akibat pandemik itu. Dia juga dilarang daripada menghadiri pengebumian saudaranya itu di Maghribi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19