Beza tiga strain

Jakarta: Indonesia mendedahkan Covid-19 yang menular di negara itu berbeza daripada tiga jenis atau strain virus berkenaan yang merebak ke seluruh dunia ketika ini.

Menteri Penyelidikan dan Teknologi, Bambang Brodjonegoro berkata, rumusan itu diperoleh daripada data analisis ke atas penjujukan tiga genom virus berkenaan.

Keputusan analisis itu sudah diserahkan Institut Biologi Molekul Eijkman kepada Global Initiative on Sharing All Influenza (GISAID).

GISAID adalah badan berpangkalan di Munich, Jerman yang mengumpul data pelbagai jenis (strain) koronavirus yang menyebabkan penularan Covid-19 di beberapa negara.

Katanya, penyelidikan itu setakat ini, menemui sekurang-kurangnya tiga perbezaan strain (jenis) koronavirus yang dikenali sebagai jenis S, G dan V.

“Tiga strain itu belum lagi dikenal pasti.

“Sampel yang sudah dihantar dari Indonesia antara yang belum dikenal pasti,” katanya seperti dilaporkan oleh The Jakarta Post.

Jelasnya, maklumat terbaharu daripada penjujukan genom keseluruhan itu dijangka membantu saintis memahami mutasi strain (jenis) virus dan pembangunan vaksin Covid-19.

Indonesia melantik Institut Biologi Molekul Eijkman untuk menerajui program pembangunan vaksin dengan kerjasama pelbagai agensi di negara itu.

Setakat 4 petang semalam, Indonesia merekodkan 12.438 kes Covid-19 dengan 895 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19