Biden 238, Trump 213

Washington: Calon Parti Demokrat, Joe Biden pada Selasa malam mendahului Presiden Donald Trump (Parti Republikan) dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

AFP melaporkan Biden sudah memenangi 238 undi elektoral dan Trump mengikuti dengan 213 undi elektoral.

Mana-mana calon perlu menang sekurang-kurangnya 270 daripada 538 undi elektoral untuk menguasai Rumah Putih.

Bagaimanapun, masih tiada calon yang dapat diumumkan sebagai pemenang dalam persaingan sengit ini.

Pada awal pagi Rabu, Biden yang juga bekas Naib Presiden kepada Barack Obama menambah Arizona sebagai negeri yang menyumbang kepada undi elektoral terhadapnya.

Ia menjadikan perhatian tertumpu kepada negeri-negeri utama lain seperti Georgia, Michigan, North Carolina, Pennsylvania dan Wisconsin.

Negeri berkenaan antara negeri yang sukar dijangka memandangkan sering kali berubah dari segi sokongan sama ada terhadap Parti Republikan atau Parti Demokrat.

Selain negeri itu, negeri lain seperti Alaska dijangka akan memihak kepada Parti Republikan manakala Nevada akan setia dengan Parti Demokrat.

Dalam pada itu, AFP melaporkan bahawa Biden mendakwa sudah menang pilihan raya berkenaan.

Trump dalam kenyataan balasnya pula mendakwa dirinya adalah pemenang di samping mendakwa pesaingnya itu cuba untuk ‘mencuri kemenangan’.

Malah, beliau mahu mengemukakan permohonan di Mahkamah Agung untuk memberhentikan dengan segera proses pengiraan undi pos.

Biden ketika tampil di hadapan penyokongnya di Wilmington, Delaware selepas tengah malam berkata, pihaknya percaya berada di landasan betul untuk menang pilihan raya berkenaan.

“Harap bersabar, kita akan memenanginya (pilihan raya),” katanya

Pasukan peguamnya juga bersedia jika Trump mahu meneruskan usaha memberhentikan proses pengiraan undi pos yang masih berlangsung ketika ini.