Biden gesa rakyat AS pakai pelitup muka

Wilmington: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Joe Biden menggesa rakyat negara ini supaya memakai pelitup muka untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Beliau yang telah menyenaraikan barisan saintis bakal menerajui tindak balas terhadap pandemik itu bawah pentadbirannya nanti, turut menegaskan gesaan berkenaan bukan satu ‘kenyataan politik’.

Menyedari kes Covid-19 terus melonjak di seluruh negara, Biden berkata, selepas mengharungi cabaran pilihan raya, rakyat AS kini perlu bersatu dalam ‘matlamat bersama’ untuk menumpaskan virus itu.

“Saya memohon kepada anda supaya memakai pelitup muka.

“Lakukannya untuk diri anda. Lakukannya untuk jiran anda. Perkara mengenai pelitup muka bukan satu kenyataan politik, namun ia adalah cara yang baik untuk mula menyatupadukan negara ini,” katanya.

Biden berkata demikian di Wilmington selepas beliau dan Naib Presiden yang dipilih, Kamala Harris, mengadakan taklimat maya bersama Lembaga Penasihat Covid-19 Peralihan yang baharu.

Biden, 77, dilihat mengamalkan pemakaian pelitup muka sejak beberapa bulan lalu.

Sebaliknya, Donald Trump pula sering mengelakkan amalan itu, malah mengadakan perhimpunan terbuka dengan ribuan penyokong berkumpul dan kebanyakan mereka tidak memakai pelitup muka.

Saintis di bawah pentadbiran Trump juga memberi amaran bahawa rakyat AS mesti terus mengamalkan pemakaian pelitup muka berikutan penularan Covid-19 dijangka kian meningkat pada musim sejuk.

“Kita masih berdepan musim sejuk yang amat gelap.

“Saya akan berusaha habis-habisan untuk menangani pandemik ini apabila kami mengangkat sumpah pada 20 Januari nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19