Biden, Harris dipilih sebagai ‘Person of The Year’ 2020

New York: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Joe Biden dan Naib Presiden dipilih, Kamala Harris diiktiraf majalah Time sebagai ‘Person of The Year’ 2020, semalam.

Pasangan demokratik itu dipilih menewaskan tiga finalis lain termasuk petugas barisan hadapan di sektor penjagaan kesihatan, Anthony Fauci, pertubuhan keadilan kaum dan Presiden, Donald Trump.

Majalah terbabit menyifatkan, Biden, 78, dan Harris sebagai kisah perubahan AS.

“(Pemilihan ini) untuk perubahan kisah Amerika, kerana menunjukkan kekuatan empati lebih besar daripada perbalahan.

“Kerana berkongsi visi penyembuhan dunia yang sedang berduka.

“Mereka bersama-sama menawarkan pemulihan dan pembaharuan dalam satu tiket. Dan (pasti) Amerika ‘beli’ apa yang mereka tawarkan,” kata majalah itu.

Setiap tahun, majalah Time memberikan pengiktirafan terbabit sejak tahun 1927.

Ia bagi menghargai tokoh atau individu yang banyak mempengaruhi liputan berita sepanjang tahun.

Ketika ditanya Time apa yang dia mahu orang perkatakan mengenainya selepas empat tahun berkhidmat di Rumah Putih, Biden berkata: “Saya mahu Amerika dan kebanyakan orang Amerika menjadi lebih baik daripada hari kita tinggalkan berbanding hari kita tiba.

“Itulah misi saya,” katanya.

Time turut memilih bintang bola keranjang, LeBron James Athlete kerana pencapaiannya luar dan dalam gelanggang, manakala kumpulan sensasi K-Pop, BTS dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik tahun ini.