Biden terima ucapan tahniah daripada pemimpin dunia

Washington: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada Joe Biden dan Kamala Harris atas kemenangan menguasai Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.

“Tahniah, @JoeBiden dan @KamalaHarris. Kita dua negara bersahabat, rakan kongsi dan sekutu rapat. Kita berkongsi hubungan yang unik di pentas dunia,” tulis Trudeau di Twitter.

“Saya amat berharap dapat bekerjasama dan membangunkannya bersama dengan anda berdua,” tambahnya.

Turut mengucapkan tahniah Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson.

“Tahniah kepada Joe Biden atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat dan kepada Kamala Harris atas pencapaian bersejarahnya,” kata Johnson menerusi Twitter.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pula berkata: “Rakyat Amerika sudah memilih Presiden mereka. Tahniah @JoeBiden dan @KamalaHarris! Kita harus melakukan banyak perkara untuk mendepani cabaran hari ini. Mari bekerjasama!” tulis Macron di Twitter.

Canselor Jerman Angela Merkel juga merakamkan ucapan tahniah dan berharap dapat bekerjasama dengan Biden, 77.

“Warga Amerika sudah membuat pilihan mereka. Joe Biden akan menjadi presiden Amerika Syarikat ke-46,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah Harris pula sebagai naib presiden wanita pertama di negara ini.

Biden menang di negeri penting, Pennsylvania dan dengan kemenangan itu membolehkannya mendahului dengan 270 undi elektoral yang diperlukan untuk menawan Rumah Putih, menurut Associated Press dan beberapa media utama lain.

Calon Demokrat itu kini mempunyai 290 undi, dan cemerlang di negeri seperti Georgia, Carolina Utara dan Alaska, menurut AP.