Bil pesakit Covid-19, RM4.7 juta

Washington: Sembuh daripada Covid-19. Tetapi seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh meninggal dunia apabila menerima bil rawatan akibat virus itu berjumlah AS$1.1 juta (RM4.7 juta).

Seattle Times melaporkan Michael Flor, 70, dimasukkan ke sebuah hospital di bandar sebelah barat laut AS pada 4 Mac lalu dan dirawat selama 62 hari.

Pada satu ketika, pesakit itu dilaporkan hampir menemui ajal dan jururawat bertugas menghubungi isteri dan anaknya bagi membolehkan dia mengucapkan selamat tinggal.

Apa yang mengejutkan, lelaki berkenaan pulih dan disahkan bebas daripada virus itu pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, Seattle Times melaporkan dia kemudian menerima bil 181 halaman berjumlah AS$1,122,501.04.

Jumlah perbelanjaan itu termasuk AS$9,736 sehari untuk bilik rawatan intensif, hampir AS$409,000 bayaran transformasi menjadi bilik steril selama 42 hari dan AS$82,000 untuk penggunaan ventilator selama 29 hari.

Bagaimanapun, Flor tidak perlu mengeluarkan wangnya sendiri kerana dia dilindungi program insurans kerajaan untuk warga emas, Medicare.

Namun, lelaki itu tetap berasa ‘bersalah’ apabila mengetahui bahawa pembayar cukai akan menanggung banyak kos.

“Jutaan dolar menyelamatkan nyawa saya, tentu saja saya mengatakan bahawa wang itu dibelanjakan dengan baik …tetapi itu mungkin pendapat saya seorang sahaja,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Setakat semalam, AS sudah merekodkan hampir 7.8 juta kes dengan lebih 432,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19