Blogger Singapura didakwa miliki bahan porno kanak-kanak

Washington: Blogger Singapura, Amos Yee, 20, didakwa di Mahkamah Illinois atas kesalahan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, menurut media tempatan pada semalam.

Yee sebelum ini sudah dipenjarakan di Singapura pada 2015 dan 2016 kerana kesalahan menyinggung agama.

Dia kemudiannya mendapat suaka sebelum berpindah dan menetap di Chicago sejak 2017.

Dia secara salah bertukar gambar dan mesej lucah dengan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika menerap di Chicago, menurut laporan akhbar Chicago Sun-Times.

Dia dibawa ke Mahkamah Jenayah Chicago pada semalam untuk sesi pendengaran jaminannya dan mahkamah menetapkan 1 juta dolar AS (kira-kira RM4.1 juta).

Yee juga tidak dibenarkan kemudahan Internet sementara menanti perbicaraan bermula seperti dilaporkan portal berita straitstimes.com.

Sekiranya didapati bersalah, suaka yang diterimanya akan ditarik semula dan dihantar pulang.

Berdasarkan laporan, pendakwa raya memaklumkan mesej yang dihantar Yee bermula sejak April hingga Julai tahun lalu yang turut disertakan dengan gambar lucah diminta daripada mangsa.

Mangsa menghantar gambar diminta Yee manakala lelaki itu turut menghantar gambar lucahnya.

Mereka dimaklumkan remaja terbabit berulang kali mendakwa sudah memberitahu Yee mengenai usianya namun lelaki itu meminta mangsa memadamkan maklumat itu dalam profil Whatsapp.

Selepas hubungan mereka berakhir, gambar mangsa tersebar dalam sebuah kumpulan sembang pedophilia sebelum dikesan pihak berkuasa keselamatan dalam negeri.