Brazil, Indonesia, Turki penerima terawal vaksin Covid-19 China

Beijing: Brazil, Indonesia dan Turki yang mencalonkan sukarelawan bagi ujian klinikal vaksin Covid-19 dibangunkan China, akan mempunyai akses ke atas vaksin terbabit serentak dengan negara itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SinoVac Biotech, Yin Weidong, ujian klinikal fasa ketiga dilakukan di Brazil pada 21 Julai lalu, manakala Indonesia pada 1 Ogos lalu dan Turki 16 September lalu.

“Kami juga menerima kebenaran untuk ujian klinikal di Bangladesh. Keluaran pertama akan diagihkan mengikut keutamaan di China dan bersekali dengan negara yang terbabit ujian klinikal iaitu Brazil, Indonesia dan Turki,” katanya kepada media seperti dilapor agensi berita Sputnik, hari ini.

Katanya lagi, syarikat membangunkan kilang pembuatan untuk menggalakkan kapasiti pengeluaran vaksin dikenali CoronaVac itu kepada tiga juta dos setahun.

Yin bagaimanapun enggan mengumumkan kos anggaran vaksin dan berkata, harganya akan bergantung kepada pelbagai faktor.

SinoVac menjangkakan vaksin itu berada di pasaran menjelang hujung tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19