Buang pegawai tinggi tidak fasih al-Quran

Jakarta: Sejumlah pegawai tinggi di kawasan pentadbiran Gowa, Sulawesi Selatan berdepan risiko kehilangan pekerjaan kerana tidak fasih membaca al-Quran.

Thejakartapost melaporkan, Ketua Daerah Gowa, Adnan Purichta Ichsan berkata, beliau memberi tempoh selama enam bulan supaya pegawai berkenaan memperbaiki bacaan masing-masing, atau mereka bakal dibuang.

“Ia berdasarkan perjanjian yang sudah ditandatangani,” kata Adnan dipetik tribunnews.com, semalam.

Seramai 14 daripada 76 pegawai tinggi beragama Islam yang baharu dilantik dalam pentadbiran itu gagal dalam ujian membaca al-Quran.

Ujian itu dilaksanakan khas untuk kawasan pentadbiran Gowa sebagai sebahagian daripada proses pengambilan terbuka pegawai tinggi.

“Kebolehan membaca al-Quran secara fasih antara kriteria yang perlu dipenuhi sebelum memegang jawatan tinggi di kawasan pentadbiran Gowa, kata Ketua Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia, Muh Basir.