Buang tumor Makokou

CAPE TOWN: Seekor gorila berusia 34 tahun di Afrika Selatan menjalani rawatan prosedur perubatan yang biasanya dilakukan ke atas manusia untuk membuang ketumbuhan luar biasa pada hidungnya.

Lapor News Sky, gorila jantan dinamakan Makokou dari Johannesburg City Parks and Zoo itu diterbangkan sejauh 64 kilometer ke Hospital Akademik Veterinar Onderstepoort di Pretoria.

Fasiliti lengkap imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di hospital itu tahan lasak untuk menampung beban gorila terbabit yang cecah 210 kilogram.

Bagaimanapun, ia memerlukan lima orang untuk mengangkat Makokou yang ditidurkan, daripada pengusung selepas selesai ujian imbasan dan haiwan itu turut dipantau rapi.

LIMA orang diperlukan untuk mengangkat Makokou. FOTO agensi
LIMA orang diperlukan untuk mengangkat Makokou. FOTO agensi

Makokou bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 bulan depan, mula dikesan mengalami masalah kesihatan oleh kakitangan zoo pada Mei, sebelum mereka membuat keputusan untuk menghantarnya menjalani ujian imbasan selepas ujian menyeluruh mengesahkan haiwan itu mempunyai ketumbuhan di saluran hidung.

Jurucakap Johannesburg City Parks and Zoo, Jenny Moodley berkata, sepanjang prosedur diketahui bahawa Makokou mengalami bengkak hidung yang antara simptom penyakit berkenaan.

MAKOKOU menjalani imbasan CT yang biasanya dilakukan ke atas manusia. FOTO agensi
MAKOKOU menjalani imbasan CT yang biasanya dilakukan ke atas manusia. FOTO agensi

“Proses biopsi dilakukan dan sampel dihantar untuk histopatologi. Keputusannya mendedahkan Makokou menghidap rhinitis kronik dengan keradangan tisu yang mengembang di saluran pernafasannya.

“Kebajikan Makokou yang menyambut hari lahir pada 9 Julai jadi keutamaan semua kakitangan zoo,” katanya.