Buat video perkahwinan sejenis untuk tambah pengikut

Pekanbaru: Bagi menambah jumlah pengikut di media sosial, dua pemuda ditahan pihak berkuasa selepas memuat naik video upacara perkahwinan sejenis sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat setempat dan tokoh agama di Indonesia.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditahan pihak berkuasa selepas laporan dibuat pengikutnya.

Ketua Polis Rohil, Nurhadi Ismanto berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-dua pemuda itu membuat video pernikahan sesama jenis hanya untuk mencari sensasi di media sosial.

“Berdasarkan pengakuan mereka, acara itu dilakukan di bilik hotel namun, tidak ada sebarang akad nikah dijalankan, sebaliknya mereka hanya merakam gambar berpakaian pengantin.

“Seorang daripada pemuda itu memuat naik video berkenaan walaupun dilarang teman-temannya,” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Menurutnya, pemuda itu berkeras mahu menyebarkan video itu di media sosial sehingga ia tular.

“Rakan-rakannya juga mengakui bahawa tiada sebarang acara pernikahan dijalankan sebaliknya mereka hanya bergambar sempena majlis hari lahir seorang teman,” katanya.

Bagaimanapun, video itu tular sehingga menimbulkan kemaran orang ramai dan tokoh agama di daerah ini.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, kami menahan kedua-dua pemuda berkenaan.

“Soal siasat masih dijalankan dan kami akan melakukan pemeriksaan terhadap kedua-duanya,” katanya.