Buka lagi 77 masjid demi penjarakan sosial

Riyadh: Wilayah AL-Jawf di utara Arab Saudi akan membuka semula 77 masjid lagi bagi memastikan jemaah kekal dalam penjarakan sosial, menurut agensi berita SPA.

Tambahan terkini itu menjadikan sejumlah 175 masjid dibuka untuk solat Jumaat di wilayah berkenaan setakat ini.

Memetik Arab News, Ketua Perhubungan Agama Al Jawf, Awad Al-Anzi berkata, tambahan akan membantu mengurangkan jumlah jemaah yang bersolat di satu-satu kawasan, selaras arahan kerajaan supaya masjid mengamalkan penjarakan sosial.

Minggu lalu, ratusan ribu penduduk menunaikan solat Jumaat pertama di masjid Rasulullah di Madinah (Masjid Nabawi) selepas perhimpunan dilarang bagi mengekang penularan Covid-19.

Lampu hijau untuk memulakan semula solat berjemaah itu sebahagian langkah pemerintah untuk membuka masjid secara berperingkat dengan penduduk dan pelawat perlu dipastikan patuh amalan pencegahan virus.

Bagaimanapun, larangan memasuki Raudhah masih berkuat kuasa selain, hanya 40 peratus daripada kapasiti jemaah sahaja dibenarkan berada di dalam masjid.

Pada 31 Mei lalu, pemerintah Saudi membuka semula semua masjid untuk solat kecuali di Makkah yang antara langkah untuk kembali kepada normal asal kehidupan.