‘Bukan enam, hanya 5 jari kaki’

London: Selepas sering dituduh melakukan suntingan gambar, selebriti popular, Kim Kardashian memuat naik video di ruangan Instagram Story (IG Story) sebagai bukti dia mempunyai lima jari kaki saja.

Portal Wilipop melaporkan, tindakan Kim itu bertujuan menafikan tuduhan segelintir warganet yang mendakwanya mempunyai enam jari kaki.

Ia berikutan beberapa gambar dimuat naik Kim sebelum ini yang seolah-olah menunjukkannya mempunyai enam jari kaki.

“Semua orang menyangka saya memiliki enam jari, dan itu (tanggapan) sangat gila,” jelas Kim menerusi rakam video di IG Story.

Menerusi rakaman video pendek berkenaan, Kim yang juga isteri penyanyi rap popular, Kanye West turut mengira bilangan jari kakinya.

Kim mengatakan jari kakinya normal dan bukan seperti yang diperkatakan ramai.

“Ini bentuk kaki saya dan tidak tahu mengapa ia kelihatan ada jari keenam di dalam gambar sewaktu memakai kasut,” katanya.

Kim dilaporkan memuat naik video dengan kapsyen ‘Sangat Keliru’ .

Perkongsian itu menjadi bualan warganet terutama dalam kalangan peminatnya.