Buku teori evolusi milik Charles Darwin hilang

London: Dua buku nota milik Charles Darwin yang mengandungi idea mengenai evolusi dan hasil lakaran terkenal “Tree of Life” hilang dipercayai dicuri, kata Perpustakaan Universiti Cambridge.

Saintis Britain mengisi buku nota kulit pada tahun 1837 selepas kembali dari pelayarannya di HMS Beagle.

Perpustakaan itu mengatakan buku berkenaan berharga berjuta-juta pound.

Dalam satu buku, dia membuat rajah yang menunjukkan beberapa kemungkinan evolusi spesis dan kemudian menerbitkan ilustrasi yang lebih maju dalam buku terbitan 1859 “On the Origin of Species”.

Perpustakaan yang besar di Universiti Cambridge itu pertama kali menyenaraikan buku nota itu hilang pada tahun 2001 selepas ia dipindahkan dari Bilik Koleksi Khas untuk sesi fotografi dijalankan di sana.

Buku itu diyakini telah lama difailkan dalam senarai yang salah ke dalam bangunan yang berisi sekitar 10 juta buku, peta dan naskah serta memiliki salah satu arkib Darwin yang paling penting di dunia.

Namun carian utama tahun ini – yang terbesar dalam sejarah perpustakaan – gagal menjumpai buku nota itu.

“Kurator telah menyimpulkan buku nota itu kemungkinan dicuri,” kata perpustakaan berkenaan dalam satu kenyataan.

Pihaknya telah memaklumkan kepada polis dan buku berkenaan disenarai dalam data kecurian hasil seni kendalian Interpol.

Pustakawan, Jessica Gardner mengedarkan video memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan buku nota itu.

“Adalah sangat dikesali buku nota itu masih hilang walaupun carian sudah dilakukan sejak 20 tahun lalu.

“Pihak kami juga sudah menambah baik sistem keselamatan perpustakaan kami.

“Saya memohon sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai buku nota ini agar tampil dan memaklumkan kepada kami,” katanya.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mungkin pernah bekerja di perpustakaan itu atau di kalangan mereka yang terbabit dalam perniagaan buku dan penyelidik.

Rayuan berkenaan dilancarkan hari ini sempena Hari Evolusi yang juga tarikh penerbitan buku “On the Origin of Species”.