Bunuh 50 pemandu teksi beri makan buaya

New Delhi: Kejam! Seorang pembunuh bersiri didakwa membunuh lebih daripada 50 pemandu teksi dan membuang mayat mereka di perairan yang dipenuhi buaya.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu turut menjual teksi mangsa untuk mengaut keuntungan.

Tindakan kejam suspek yang juga seorang doktor, Devender Sharma dan rakan-rakannya membunuh mangsa di tempat terpencil dan kemudian membuang mayatnya untuk memastikan mereka tidak ditemui.

Polis di India mengatakan dia akhirnya ditangkap dan mengakui jenayah kejam itu.

Tetapi penyiasat percaya Sharma mungkin bertanggungjawab terhadap 100 pembunuhan. Doktor berusia 62 tahun itu dipercayai sebahagian sindiket yang melakukan pemindahan buah pinggang secara haram pada awal tahun 2000.

Dia kemudian mengaku menjalankan 125 prosedur dan menghasilkan keuntungan sebanyak £ 7,000 (RM38,264.96) setiap kali pemindahan buah pinggang dilakukan.

Selepas hilang wang akibat ditipu, suspek memimpin kumpulan yang merompak gas daripada trak dan sering membunuh pemandu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Rakesh Paweriya memberitahu Times of India, dia menyasarkan pemandu teksi supaya mereka dapat menjual kereta mereka – sama ada secara keseluruhan atau berasingan.

Dan pemandu trak juga dibunuh oleh kumpulan itu, katanya.

Pegawai polis itu berkata: “Rakan-rakannya merompak trak yang membawa silinder LPG dengan membunuh pemandu.

“Mereka merompak gas dan dipindah ke trak lain, manakala trak yang dirompak itu akan dibongkar di Meerut dan mayat pemandu dibuang di Terusan Hazara, Kashganj yang mempunyai buaya, jadi tidak ada peluang untuk mengesan mayat.

Suspek sebelumnya disabitkan dengan tujuh pembunuhan pemandu teksi yang dilakukan antara 2002 dan 2004, dan dipenjara seumur hidup di Jaipur di Rajastan.

Namun selepas 16 tahun, dia diberi izin untuk menghabiskan 20 hari dalam parol.

Bagaimanapun ketika itu dia menghilangkan diri dan dikesan berada di sebuah rumah di Delhi.

Dia mengatakan tidak berniat kembali ke penjara dan akhirnya mengakui sejarah silamnya yang kejam.