Bunuh depan tetamu

Moscow: Malang bagi seorang wanita di wilayah Novosibirsk, Rusia apabila meninggal dunia selepas dipukul oleh suaminya.

Lebih mengejutkan, kejadian berlaku di depan mata tetamu yang meraikan pasangan itu pada majlis resepsi mereka di sebuah kediaman peribadi di Prokudskoye.

The Sun melaporkan insiden bermula apabila suspek, Stepan Dolgikh, 33, dikatakan cemburu selepas melihat perlakuan isterinya, Oksana Poludentseva, 36.

Wanita itu dikatakan bersikap ‘kurang sopan’ ketika melayan seorang tetamu lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Selepas melihat perlakuan isterinya itu, suspek dikatakan berulang kali memukul kepala mangsa.

Ketua Penyiasat, Kirill Petrushin berkata, suspek mula menumbuk dan menendang mangsa ketika di luar rumah berkenaan.

“Suspek kemudian dikatakan kembali menyerang mangsa ketika pasangan itu berada di dalam rumah.

“Malah, suspek turut menarik mangsa hingga ke lorong luar rumah dan kembali memukulnya,” katanya.

Selepas melihat isterinya tidak bernyawa, suspek segera membawa mayat wanita itu ke kawasan gaung berdekatan rumah dan membuangnya di situ.

Kejadian itu disedari oleh tetamu tetapi mereka tidak berani melakukan apa-apa kerana terlampau takut melihat kejadian.

Bagaimanapun, ada antaranya yang memberanikan diri menghubungi polis.

Susulan kejadian, Dolgikh yang sebelum ini memiliki rekod jenayah lampau kerana membunuh kini sudah ditahan polis untuk siasatan lanjut.