Bunuh rakan tidak terima teguran berak merata-rata

Palembang: Hanya kerana tidak dapat menerima teguran akibat membuang air besar merata-rata, menjadi punca pembunuhan seorang pemuda di Indonesia.

Dua beradik Candra, 23, dan Calvin, 19, mengaku membunuh rakan mereka itu, Fran, 22, akibat dendam selepas mangsa tidak meminta maaf akibat keterlanjurannya menikam Candra.

Dalam pengakuannya kepada polis, Candra berkata, masalah perselisihan itu timbul ketika dia dan mangsa melepak di sebuah pondok berhampiran rumah mereka di Jalan Meranti Sungai Buaya, daerah Kertapati.

Katanya, dia menegur Fran yang membuang air besar sembarangan di kawasan itu, namun tegurannya itu tidak diterima mangsa.

“Teguran saya itu membuatkan Fran marah dan memaki hamun, dia sempat menyerang dari belakang dengan menggunakan pisau dan terkena pada jari saya.

“Saya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis kerana mahu menunggu dia meminta maaf, namun penantian saya sia-sia.

“Kecewa dengan sikapnya, saya dan adik menyerang Fran yang ketika itu sedang bekerja di bengkel dengan senjata tajam hingga maut,” katanya seperti dipetik Kompas.com.

Sementara itu, Ketua Polis Palembang Anom Setiyadji mengesahkan kejayaan tangkapan dua beradik itu pada 17 November lalu selepas hampir sebulan melarikan diri.

Katanya, kes pembunuhan itu berlaku akibat dendam lama antara suspek dan mangsa akibat masalah perselisihan faham.

“Suspek ditahan ketika bersembunyi di rumah keluarganya. Kedua-duanya bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun di bawah Akta 338 dan 340 kerana melakukan pembunuhan,” katanya.