California saman Trump
Los Angeles: California akan menyaman pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung ancaman berkaitan visa pelajar asing di negara itu.
Ia selepas Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen Amerika Syarikat (ICE) tidak mahu membenarkan pelajar terbabit yang memilih mode kelas dalam talian, memasuki negara itu.
Saman itu akan difailkan oleh Peguam Negeri California, Xavier Becerra.
California State University dengan lebih 10,000 pelajar asing adalah antara plaintif dalam saman berkenaan.
“Polisi pentadbiran Trump itu menyalahi undang-undang, boleh meningkatkan jangkitan Covid-19 dan mengusir ribuan penuntut asing di AS,” kata satu kenyataan susulan pengumuman saman berkenaan.
Isnin lalu, ICE mengumumkan bahawa penuntut asing yang memilih kelas dalam talian untuk semester pada musim luruh tidak akan dibenarkan memasuki AS.
Langkah itu dilihat memberi tekanan kepada institusi pendidikan yang mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Menurut Becerra, langkah yang diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump itu adalah sesuatu yang memalukan.
Beliau berkata, ia bakal memberi kesan kepada kesihatan dan kebajikan pelajar berkenaan.
“Memaksa pelajar untuk kembali ke kolej dan universiti bagi mengikuti kelas akan menjejaskan kewangan mereka.
“Ia juga boleh menjadikan mereka sebagai penyebar virus itu,” katanya.
Dalam pada itu, Universiti Harvard yang mengumumkan hanya kelas dalam talian untuk tahun depan sudah mengemukakan saman berasingan berhubung polisi sama.
Selain itu, saman sama turut difailkan oleh Institut Teknologi Massachusetts.