Catat rekod daki Everest di rumah

LELAKI berusia 51 tahun berjaya mencipta rekod apabila menjadi individu pertama naik dan turun anak tangga di rumahnya dalam tempoh 24 jam dengan ketinggian sama seperti mendaki puncak Gunung Everest.  

Metro UK melaporkan, Rob Ferguson memulakan cabaran itu Khamis lalu bermula 7.15 pagi dan menamatkannya 7.45 pagi keesokan harinya selepas mencatatkan ketinggian 17,600 meter. 

Menurut Rob, pendakian anak tangga rumah itu dilakukan bagi mengambil bahagian dalam cabaran TENZING Everest dan secara tidak langsung membolehkannya membantu mengumpul dana untuk disalurkan kepada pertubuhan amal United Kingdom (UK), Royal Medical Benevolent Fund (RMBF) yang menyokong petugas barisan hadapan serta keluarga mereka.  

Rob tidak berseorangan menyertai cabaran itu tetapi bersama dua lagi pendaki, Jenny Wordsworth dan Lucy Aspden yang melakukannya di rumah masing-masing. 

Bagaimanapun, Jenny hanya dapat menamatkan cabaran dengan ketinggian sebanyak 6,500 meter kerana mengalami kecederaan pada buku lali. 

Lucy pula menamatkan cabaran dengan ketinggian lebih sedikit daripada Everest Base Camp (EBC) iaitu 5,380 meter. 

Difahamkan, Rob bertugas sebagai ketua di Jabatan Fisioterapi di Hospital King Edward VII  yang memberi sokongan kepada petugas kesihatan dengan melatih dan meningkatkan kemahiran khususnya dalam kalangan jururawat. 

Selain itu, dia turut memberi latihan asas pengendalian dada dan teknik fisioterapi untuk mengendalikan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan.  

Justeru, Rob memahami kesukaran dihadapi petugas kesihatan yang memerlukan sokongan. 

Sementara itu, Jamling Tenzing Torgay yang juga anak kepada individu pertama menawan puncak Gunung Everest, Sherpa Tenzing berkata, kesungguhan Rob seharusnya memberi inspirasi kepada masyarakat di seluruh dunia.  

“Walaupun sedang menjalani perintah berkurung di rumah, bukan bermaksud tidak dapat mencapai sesuatu yang besar dan bermakna,” katanya.