Cef selebriti dikecam siar simbol Nazi

Sydney: Seorang cef selebriti Australia yang juga penggemar teori konspirasi, Pete Evans disingkir oleh beberapa syarikat dan buku-buku yang dihasilkan turut dikeluarkan dari rak selepas dia menyiarkan simbol Nazi di media sosial.

Sebahagian besar perniagaan di Australia mengatakan bahawa mereka akan membuang buku dan produk Evans dari kedai berikutan reaksi orang ramai terhadap posting Instagramnya yang menyertakan simbol ‘Black Sun’, gambar yang dikaitkan dengan Nazi Jerman dan digunakan oleh neo-Nazi.

Penerbit Pan MacMillan adalah antara mereka yang secara terbuka menjauhkan diri dari Evans dan memberitahu peruncit bahawa mereka perlu mengembalikan bukunya.

Jenama peralatan dapur Baccarat turut mengatakan bahawa ia akan berhenti menghasilkan dan menjual barisan produk dengan nama Evans.

“Pada pandangan kami, gambar dan pandangan yang diutarakan oleh Evans sangat menjijikkan, tidak dapat diterima dan sangat menyinggung perasaan,” kata Baccarat Australia dalam satu kenyataan.

Evans yang bakal muncul dalam rancangan realiti ‘I’m a Celebrity … Get Me Out of Here’ di Australia juga dilaporkan dibatalkan.

Hantaran yang sudah dipadam itu memaparkan gambar ulat yang memakai topi ‘Make America Great Again’ sedang bercakap dengan rama-rama yang mempunyai simbol ‘Black Sun’ di sayapnya.

Evan yang kemudiannya muncul dalam video di laman media sosialnya mengatakan tuduhan yang dibuat terhadapnya adalah ‘tidak benar, tidak praktikal dan sampah’.

Dia juga mendakwa dia harus ‘Google apa maksud neo-Nazi’.

Sejak pandemik Covid-19 bermula, Evans secara rutin menggunakan platformnya untuk mempromosikan teori konspirasi mengenai wabak berkenaan.

Dia juga terkenal dengan idea diet sains palsu iaitu diet palaeolitik, sehingga digelar ‘Paleo Pete’.