China bakal berdepan tindakan, jika…

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran China bakal berdepan dengan tindakan jika terbukti dengan sengaja menyebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Ia (penularan wabak) boleh terhenti di China dan ia tidak terjadi seperti itu,” kata Trump dalam satu taklimat media di White House, semalam.

Beliau berkata, akibatnya, dunia kini menerima kesan akibat penularan wabak berkenaan.

Trump ditanya sama ada China perlu berdepan tindakan berikutan pandemik Covid-19. bermula di Wuhan, di wilayah Hubei, China.

Setakat semalam, ia sudah menyebabkan 157,000 kematian di seluruh dunia.

“Jika ia adalah satu kesilapan, salah tetap salah. Tetapi, jika mereka (China) terbukti bertanggungjawab, ya, akan ada tindakan.

“Adakah ia kesilapan yang tidak dapat ditangani atau disengajakan? Ada perbezaan yang besar antara kedua-dua ini,” kata Trump.

Beliau berkata, China seharusnya membenarkan pihak AS memasuki negara itu ketika penularan wabak masih pada peringkat awal.

“Dalam apa cara sekalipun, mereka patut memberi kita izin masuk. Kita sudah memohon untuk masuk ke negara itu lebih awal tetapi mereka menolaknya. Saya fikir mereka (China) tahu sesuatu yang buruk sudah berlaku dan mereka berasa malu,” katanya.

Trump berkata, China sudah melakukan siasatan berhubung penularan wabak terbabit.

“Kita lihat nanti hasil siasatan mereka (China). Bagaimanapun, pihak kita turut menjalankan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran Trump tidak menolak kemungkinan bahawa wabak berkenaan berasal dari sebuah makmal di Wuhan.

Bagaimanapun, jurucakap Menteri Luar China Zhao Lijian yang sebelum ini mendakwa virus itu dibawa Tentera AS ke China menolak teori berkenaan atas alasan tiada bukti saintifik.

Trump sebelum ini juga meragui angka rasmi kerajaan China yang menunjukkan 0.33 peratus kematian untuk setiap 100,000 orang.

“Angka itu adalah mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, AS merekodkan 11.24 kematian untuk setiap 100,000 orang, manakala Perancis (27.92) dan Sepanyol (42.81).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19