China lancar cara balas dendam tindakan AS sekat TikTok, WeChat

Shanghai: China melancarkan mekanisme yang membolehkannya menyekat syarikat asing, selepas Washington mengambil tindakan mengekang aplikasi TikTok dan WeChat yang popular di China.

“Daftar entiti tidak boleh dipercayai” yang sudah lama dijangka dilaksanakan China dilihat sebagai senjata ampuh bagi Beijing untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat, yang telah menggunakan “senarai entiti” sendiri untuk menutup syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei keluar dari pasaran Amerika Syarikat (AS), selain turut bergerak menentang TikTok dan WeChat.

Pelaksanaannya dilakukan hanya sehari selepas Jabatan Perdagangan AS meningkatkan tekanan dengan memerintahkan larangan memuat turun aplikasi video TikTok dan secara efektif menyekat penggunaan WeChat.

China tidak menyebut entiti asing tertentu yang boleh menjadi sasaran tetapi ia mengatakan sistem baru akan mempertimbangkan sekatan terhadap entiti yang aktivitinya “membahayakan kedaulatan, keamanan, dan kepentingan pembangunan negara China” atau melanggar “peraturan ekonomi dan perdagangan yang diterima secara antarabangsa”.

Bermula hari ini, AS mengeluarkan perintah melarang muat turun aplikasi video popular, TikTok dan menyekat penggunaan aplikasi China, WeChat.

Bagaimanapun, pengguna TikTok yang sudah memuat turun aplikasi itu masih boleh mengakses perkhidmatan berkenaan hingga 12 November depan.

Tindakan itu secara langsung melumpuhkan penggunaan WeChat di AS, yang digunakan untuk membuat pesanan, membeli-belah, pembayaran dan perkhidmatan lain.