China lancar kapal angkasa ke bulan

Beijing: China melancarkan kapal angkasa tanpa pemandu ke bulan, hari ini, dengan misi membawa kembali sampel batu, ia cubaan pertama dilakukan kebanyakan negara dalam tempoh empat dekad.

Roket dikenali sebagai Long March 5 yang membawa misi Chang’e-5, sempena nama dewi mitos Cina, berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Wenchang di Hainan, pada 4.30 pagi waktu tempatan, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Beijing membelanjakan bilion ringgit bagi menjayakan program angkasa lepas yang dikendalikan tentera, dengan harapan memiliki stesen angkasa lepas menjelang 2022 dan seterusnya menghantar manusia ke bulan.

Matlamat misi itu ialah membawa pulang batu dan tanah bulan untuk membantu saintis mengkaji asal usul, formasi dan aktiviti gunung berapi di permukaan bulan.

Misi asal yang dirancang pada 2017 tertangguh berikutan kegagalan enjin pada roket Long March 5.

Sekiranya misi kali ini berjaya, China menjadi negara ketiga yang berjaya mengambil sampel dari bulan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet, sekitar 1960-an serta 1970-an.

Melalui misi itu, dua kilogram (4.5 paun) mineral pada permukaan bulan di kawasan dataran lava yang luas dan belum diterokai, dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau Lautan Ribut, akan dikumpulkan.

Kapal angkasa itu dijangka mendarat pada akhir November dan mengumpul mineral dalam tempoh sehari waktu di bulan yang bersamaan dengan 14 hari di bumi.

Sampel itu akan didaratkan ke bumi dalam kapsul yang diprogramkan untuk mendarat di Mongolia di utara China pada awal Disember, lapor agensi angkasa lepas AS, Pengurusan Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional (NASA).

Ini adalah misi kedua China ke bulan selepas misi Yutu (Jade Rabbit) pada 2013.