China lulus ujian hadapi Covid-19

Beijing: China lulus ‘ujian luar biasa dan bersejarah’ dengan caranya menangani Covid-19, kata Presiden Xi Jinping hari ini, pada majlis anugerah penghargaan untuk profesional perubatan, yang diraikan dalam suasana meriah.

Jentera propaganda negara itu memuji tindak balas China, yang menjadikan krisis kesihatan awam yang dihadapi sebagai contoh ketangkasan dan kepemimpinan organisasi Komunis.

Jinping menganugerahkan pingat emas kepada empat ‘wira’ bidang perubatan di hadapan ratusan perwakilan hari ini, semuanya memakai pelitup muka dan pin bunga merah besar menyerlah.

“Kita sudah lulus satu ujian yang luar biasa dan bersejarah.

“Kita mencapai kejayaan awal dengan cepat dalam perjuangan manusia menentang Covid-19. Kita sedang memimpin dunia dalam pemulihan ekonomi dan memerangi Covid-19.

“China berdepan pemantauan ketat dunia berhubung tindak balasnya terhadap virus itu, dengan Amerika Syarikat dan Australia menuduh Beijing menutup asal usul dan bahaya virus itu,” kata Jinping, yang memuji ‘perjuangan berani’ negara itu menentang penyakit berkenaan.

Majlis mewah yang diadakan di Great Hall of the People dimulakan dengan hadirin senyap selama seminit bagi memperingati mereka yang meninggal dunia ketika wabak berkenaan.

Empat penerima anugerah termasuk Zhong Nanshan berusia 83 tahun, pakar perubatan yang paling terkenal di negara itu, yang menjadi wajah China dalam memerangi penularan.

Beliau dianugerahkan medal tertinggi China oleh Jinping, yang dipakaikan pada leher Nanshan.

“Kita akan bekerjasama dengan petugas perubatan dunia untuk meneruskan perjuangan mengesan asal usul virus itu,” kata Nanshan.

Beijing menegaskan sumber virus itu, yang pertama kali muncul di bandar China, Wuhan lewat tahun lalu, masih lagi tidak diketahui.

Tiga lagi yang diberi gelaran kehormat ‘Wira Rakyat’ ialah pakar biokimia, Chen Wei; ketua sebuah hospital di Wuhan dan pakar perubatan tradisional China berusia 72 tahun.

Sebahagian perwakilan menitiskan air mata ketika siri ucapan yang disampaikan pada majlis berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19