China peringati 3,000 terkorban

Wuhan: China, semalam, berkabung bagi memperingati lebih 3,000 rakyatnya yang terkorban akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Di seluruh negara, semua penduduk menghentikan aktiviti dan bertafakur tiga minit, tepat jam 10 pagi waktu tempatan.

Siren dan hon dibunyikan bagi memperingati pesakit dan kakitangan perubatan yang meninggal dunia sejak wabak itu kali pertama dikesan di sini, akhir tahun lalu.

PEGAWAI polis di China menundukkan kepada dan berdiam diri selama tiga minit bagi memperingati mangsa Covid-19 di negara itu. FOTO AFP
PEGAWAI polis di China menundukkan kepada dan berdiam diri selama tiga minit bagi memperingati mangsa Covid-19 di negara itu. FOTO AFP

Kakitangan Hospital Tongji di sini berdiri di luar bangunan, dengan ada yang masih memakai sut perlindungan yang menjadi simbol perang terhadap virus maut itu.

“Saya amat sedih mengenangkan rakan dan pesakit yang meninggal dunia,” kata Xu, seorang jururawat di Hospital Tongji di sini, sambil menahan linangan air mata.

Imej stesen penyiaran tempatan menunjukkan Presiden China Xi Jinping dan kakitangan kanan kerajaan berdiri di laman bangunan kerajaan dengan memakai bunga putih.

Di Dataran Tiananmen di ibu negara itu, bendera negara diturunkan separuh tiang.

Orang awam di daerah beli-belah paling sibuk di Beijing juga menghentikan aktiviti dan menundukkan kepala bagi menghormati upacara itu.

Pegawai rasmi kerajaan berkata, upacara itu bagi mengenang jasa pejuang barisan hadapan yang terkorban termasuk Li Wenliang, doktor yang menjadi antara individu terawal memberi amaran berhubung Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19