China tolak saman keluarga mangsa Covid-19

Wuhan: Seorang pesara di Wuhan, Zhong Hanneng, bersama ahli keluarganya mengemukakan saman terhadap kerajaan tempatan selepas dia kehilangan anak lelakinya yang maut akibat Covid-19 pada Februari lalu.

Namun, saman itu ditolak, manakala sejumlah individu lain ditekan kerajaan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang, dan peguam diberi amaran untuk tidak membantu mereka, menurut individu yang terbabit dalam usaha berkenaan.

Anggota keluarga itu mendakwa kerajaan wilayah Wuhan dan Hubei menyembunyikan penularan wabak itu dan tidak memaklumkan kepada umum apabila ia mula dikesan hujung tahun lalu, menyebabkan Covid-19 tersebar di luar kawalan.

Wabak itu sudah meragut hampir 3,900 nyawa di bandar itu dan lebih 900,000 di seluruh dunia setakat ini.

“Mereka berkata epidemik ini adalah bencana semula jadi. Namun, kesan penularannya adalah hasil keputusan manusia, dan kita perlu tahu siapa yang bersalah,” kata Zhong, 67.

Seorang daripada mereka yang mahu mengambil tindakan, Zhang Hai berkata, sekurang-kurangnya lima tindakan saman dikemukakan di mahkamah Wuhan.

Dia yang kehilangan bapanya akibat dijangkiti virus itu sebelum ini lantang bersuara dan menjadi jurucakap keluarga mangsa virus berkenaan.

Plaintif menuntut bayaran ganti rugi sekitar dua juta yuan (RM1.22 juta) dan permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, mahkamah menolak semua saman itu tanpa memperincikan sebarang alasan perundangan, kata aktivis veteran China, Yang Zhanqing yang kini berada di AS.

Zhanqing yang membantu 24 peguam di China yang memberi nasihat secara rahsia kepada ahli keluarga mangsa berkata, penolakan itu dibuat melalui panggilan telefon ringkas, dan bukannya menerusi penjelasan bertulis rasmi seperti diperuntukkan undang-undang.

Kakitangan di mahkamah Wuhan enggan memberi komen kepada AFP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19