Comelnya zonkey!

Nairobi: Seekor zonkey iaitu haiwan kacukan keldai dan kuda belang (zebra) dilahirkan di Taman Negara Chyulu Hills di Kenya, lapor Mirror Online.

Spesies sangat jarang ditemui itu dilahirkan kuda belang betina yang ditempatkan di kawasan perlindungan berkenaan, selepas berpindah dari Taman Negara Tsavo East.

Pertubuhan penyelamat haiwan, Sheldrick Wildlife Trust yang menyedari kelahiran itu berkata, kuda belang berkenaan melahirkan haiwan itu selepas mengawan dengan keldai jantan.

Anak kuda belang yang belum dinamakan itu dikatakan lahir dengan corak garis putih dan coklat yang akhirnya berubah menjadi hitam.

“Pada mulanya, kami sangka anak kuda belang itu baru berkubang dengan lumpur. Telahan kami meleset apabila ia anak kacukan kuda belang dengan keldai.

“Kebiasaannya, tempoh kehamilan kuda belang adalah 12 bulan. Jelas, haiwan itu mengawan dengan keldai jantan ketika tinggal di habitat lamanya, tahun lalu,” kata pertubuhan itu dalam laman webnya.

Kata pertubuhan itu, pihaknya gembira apabila menyaksikan pertambahan keturunan haiwan itu.