Covid-19: 407 kes baru di Singapura, keseluruhan 40,604 kes

SINGAPURA dalam laporan awalnya hari ini, mengesahkan tambahan 407 kes baru jangkitan Covid-19, dengan majoriti besarnya masih membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes itu kini di negara itu kepada 40,604.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan menyatakan, daripada jumlah itu, hanya sembilan kes membabitkan warga Singapura dan penduduk tetap, manakala lima pemegang pas kerja.

Dalam data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,787 sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 37,830 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sehingga kini, 26 meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dengan kes terbaru membabitkan wanita Singapura berusia 73 tahun.

Berkaitan kluster, tiada kes baru membabitkan Space @Tuas Apartment untuk tempoh dua tempoh inkubasi selama 28 hari, dan kluster itu ditutup, menurut kementerian itu lagi.

Bagaimanapun satu kluster baru dikesan semalam, sebuah asrama di 50 Tech Park Crescent.

Sehingga 13 Jun, kluster terbesar Singapura adalah S11 Dormitory @ Punggol dengan 2,740 kes yang disahkan, manakala asrama Sungei Tegah Lidge mempunyai 2,037 kes.