Covid-19: 43 individu positif selepas hadiri majlis perkahwinan

New Delhi: Seramai 43 individu termasuk pengantin lelaki dan perempuan di sebuah majlis perkahwinan di Kerala, India disahkan positif Covid-19.

Ia selepas keluarga pengantin dan tetamu gagal mematuhi penjarakan sosial pada majlis berkenaan pada 17 Julai lalu.

Khaleej Times melaporkan pihak berkuasa daerah Kasaragod menjalankan ujian saringan terhadap 125 tetamu yang menghadiri majlis itu.

“Seramai 43 disahkan dijangkiti virus berkenaan, manakala semua tetamu diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Mereka juga perlu melaporkan diri ke pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal,” kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Difahamkan, lebih 50 tetamu diundang ke majlis berkenaan.

Berdasarkan laporan Times Now, bapa pengantin perempuan menjadi individu pertama yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Dia juga berdepan hukuman penjara dan denda 10,000 Rupee (kira-kira RM568) kerana melanggar perintah pencegahan virus itu.

Di Abu Dhabi, 20 individu disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Gulf News yang memetik laporan akhbar Emarat Al Youm melaporkan ia selepas mereka gagal mematuhi penjarakan sosial.

Sehubungan itu, Pusat Kesihatan Awam Abu Dhabi menggesa orang ramai supaya mematuhi langkah pencegahan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19