Covid-19: Angka kematian di India melepasi 100,000

New Delhi: Jumlah kematian akibat Covid-19 di India sudah melepasi angka 100,000, pada Sabtu.

Data rasmi Menteri Kesihatan menunjukkan 100,842 individu meninggal dunia akibat wabak itu dan sekaligus meletakkan India sebagai negara ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

Daripada segi jangkitan, India kini mencatatkan 6.47 juta kes jangkitan dan mungkin akan mengatasi AS sebagai negara dengan jumlah jangkitan paling banyak dalam beberapa minggu akan datang.

Populasi penduduk India yang berjumlah 1.3 bilion adalah empat kali lebih besar dari AS, yang menyaksikan kematian lebih daripada dua kali ganda lebih banyak dan menimbulkan keraguan mengenai jumlah rasmi di negara itu (India).

“Kami tidak tahu kebolehpercayaan kadar kematian di India,” kata ahli virologi T. Jacob John kepada AFP.

“India tidak mempunyai sistem pengawasan kesihatan masyarakat, yang mendokumentasikan kejadian dan kematian penyakit secara kaedah masa nyata (real-time),” katanya.

Selasa lalu, agensi pandemik India melancarkan tinjauan yang menunjukkan bahawa lebih 60 juta orang (10 kali ganda daripada angka rasmi) mungkin dijangkiti virus itu.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri India, Narendra Modi tetap mahu membuka sekatan walaupun kes meningkat.

Perintah sekatan yang dimulakan Mac lalu bukan sahaja gagal menghalang penyebaran virus itu malah ia menyebabkan penderitaan terhadap berjuta-juta individu yang hilang pekerjaan sekelip mata.

Rabu lalu, kerajaan India berkata semua sekolah boleh dibuka semula begitu juga panggung wayang dan kolam renang tertakluk dengan syarat tertentu.

Uttar Pradesh, yang dihuni 200 juta individu, membenarkan acara keagamaan mulai 15 Oktober depan dan akan membuka kepada perhimpunan besar pada musim perayaan yang akan datang.