Covid-19: Angka korban di Eropah lepasi 250,000 orang

Paris: Angka kematian akibat Covid-19 di Eropah, pada Ahad, melepasi 250,000 orang.

Ia ketika Israel dan Melbourne, Australia mula melonggarkan sekatan pergerakan ketat bagi mengekang penularan pandemik itu.

Dalam pada itu, negara Eropah sudah memperketat perintah kawalan susulan peningkatan kes jangkitan.

Perancis umpamanya menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam.

Switzerland pula mengarahkan semua penduduknya memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Israel pula berjaya merekodkan penurunan kes baharu selepas melaksanakan langkah drastik termasuk mengharamkan perjalanan lebih satu kilometer dari rumah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu sudah menarik balik arahan itu pada Ahad dan membuka semula tadika, pantai dan taman negara.

Di Australia, Melbourne berjaya mengekang penularan Covid-19 dan pihak berkuasa membenarkan penduduknya yang berjumlah lima juta orang untuk keluar dari rumah lebih daripada dua jam setiap hari, untuk pertama kali, sejak tiga bulan.

Bagaimanapun, orang ramai hanya dibenarkan untuk melakukan perjalanan sehingga jarak 25 kilometer (km) dari rumah, jika mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, restoran dan perniagaan lain di Melbourne, masih ditutup.

Di Eropah, peningkatan kes Covid-19 sudah mencapai tahap berjaga-jaga.

Angka korban di benua itu adalah tertinggi selepas Amerika Latin dan negara kepulauan Caribbean, di mana lebih 350,000 kematian direkodkan.

United Kingdom menjadi negara dengan kadar kematian tertinggi, iaitu meliputi separuh daripada seperlima angka korban akibat virus itu di benua berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19