Covid-19: AS beri RM21.84 juta kepada Palestin

Baitulmaqdis: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan akan menyediakan AS$5 juta (RM21.84 juta) kepada pihak berkuasa Palestin untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Agensi berita Anadolu melaporkan bahawa Duta AS ke Israel David Friedman melalui ciapannya di Twitter gembira dengan pengumuman itu.

“Saya sangat gembira AS menyediakan AS$5 juta untuk hospital dan isi rumah Palestin memenuhi keperluan penting dan menyelamatkan nyawa dalam memerangi Covid-19,” katanya

AS sebelum ini memotong bantuan lebih AS$200 juta (RM873.433 juta) kepada Palestin berikutan penilaian yang dibuat Presiden Donald Trump pada Ogos 2018.

Di samping itu pentadbiran Trump turut memotong bantuan kewangan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada tahun yang sama.

Selama ini, AS adalah penyumbang terbesar UNRWA, memberikan AS$350 juta (RM1.53 billion) setiap tahun – kira-kira satu perempat keseluruhan bajet.

Ditubuhkan pada 1949, UNRWA menjalankan aktiviti seperti bantuan kecemasan kepada pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat yang dikuasai Israel, di Jordan, Lubnan dan Syria.