Covid-19: AS bersiap sedia untuk mulakan program vaksinasi

Washington: Amerika Syarikat (AS) sudah bersedia untuk memulakan program vaksinasi ke seluruh negara ketika angka kematian akibat Covid-19 di negara itu, mencecah 300,000 orang.

Trak penghantaran dengan peti sejuk khas dihantar ke sebuah fasiliti di Kalamazoo, Michigan, sebagai sebahagian daripada pelan swasta-kerajaan untuk mengedarkan jutaan dos vaksin Pfizer-BioNtech kepada jutaan rakyat AS.

Syarikat perkhidmatan cepat seperti FedEx dan UPS sudah menghantar sejumlah trak dan pesawat untuk membawa kargo bernilai itu – kalanya dikawal dengan pengawal bersenjata – ke 50 negeri di mana pemberian vaksin itu akan diberi keutamaan terhadap petugas kesihatan dan penghuni rumah jagaan .

“Vaksin sudah dihantar dan sedang dalam perjalanan,” tulis Donald Trump menerusi Twitter. “Cepat baik AS, Cepat baik dunia.”

Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, “kita percaya bahawa individu pertama akan disuntik vaksin berkenaan pada Isnin – kurang 72 jam selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin berkenaan.”

Pada peringkat permulaan, 2.9 dos vaksin mula dihantar pada Rabu, dengan pihak berkuasa berkata, 20 juta rakyat AS masing-masing akan menerima dua dos suntikan, menjelang akhir tahun, dan 100 juta lagi, menjelang Mac.

Dalam pada itu, AS kekal menjadi negara paling terjejas akibat pandemik berkenaan dengan angka kematian sudah melebihi 299,000 orang dan 16.2 juta kes positif, pada minggu lalu.

Secara keseluruhan, seramai 71.6 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan kira-kira 1.6 juta kematian, sejak virus itu dikesan di Wuhan, China pada akhir tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19