Covid-19 boleh tembusi otak?

Washington: Pening kepala, kekeliruan dan meracau yang dialami oleh penghidap Covid-19 mungkin berpunca kerana virus itu sudah menjangkiti bahagian otak.

Ia berdasarkan satu kajian peringkat awal yang diketuai oleh ahli imunologi Universiti Yale, Amerika Syarikat, Akiko Iwasaki.

Menurut kajian itu, virus berkenaan mampu menggandakan bilangannya di dalam otak dan menyebabkan gangguan terhadap aliran oksigen.

Bagaimanapun, tidak jelas mengenai kebarangkalian perkara itu akan berlaku terhadap penghidap Covid-19.

S Andrew Josephson dari jabatan neurologi di Universiti California, San Francisco memuji teknik digunakan dalam kajian itu.

Beliau berkata, adalah penting untuk mengetahui kaitan antara Covid-19 dengan otak.

Namun, beliau berhati-hati dalam melihat dapatan kajian itu sehingga ia dinilai menerusi kajian semula setara atau peer check.

Bagaimanapun, adalah tidak mengejutkan sekiranya Covid-19 boleh menembusi pertahanan salur darah otak.

Sistem pertahanan semula jadi itu menjadi perisai kepada benda asing ke dalam otak.

Virus Zika, umpamanya, dikesan menyebabkan kerosakan yang signifikan terhadap otak janin.

Tetapi doktor setakat ini percaya bahawa impak neurologi Covid-19 pada hampir separuh pesakit disebabkan oleh tindak balas imun yang tidak normal dikenali sebagai cytokine storm.

Ia merujuk apabila jumlah sitokin yang tinggi di dalam salur darah dan menyebabkan keradangan otak, berbanding jika virus itu merebak ke bahagian otak.

Dalam pada itu, Bernama yang memetik laporan agensi berita Xinhua melaporkan sehingga kini, 27.6 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dan ia menyebabkan 900,079 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19