Covid-19: Brazil negara kedua paling terjejas

RioDeJaneiro: Brazil merekodkan 50,000 korban akibat Covid-19 selain jumlah jangkitan meningkat kepada sejuta pada Ahad.

Angka terbaharu itu menjadikan Brazil sebagai negara kedua tertinggi terjejas akibat pandemik berkenaan.

Kementerian Kesihatan melaporkan 641 korban baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam dengan jumlah keseluruhan 50,617 kematian manakala 1,085,038 dijangkiti.

Brazil kini di belakang Amerika Syarikat yang sudah merekodkan hampir 120,000 kematian dengan 2.2 juta pula disahkan dijangkiti wabak itu.

Presiden, Jair Bolsonaro yang terkenal kerana membuat perbandingan Covid-19 dengan selesema ringan mempunyai pendapat bertentangan dengan arahan pihak berkuasa tempatan.

Pemimpin kanan kerajaan memaklumkan impak ekonomi akan menjadi semakin parah berbanding risiko yang disebabkan wabak berkenaan.

Covid-19 juga sudah mula menular di negara Amerika Latin seperti Mexico, Peru dan Chile.

Mexico merekodkan 170,000 kes dan 20,349 kematian, sementara angka korban di Chile kini meningkat dua kali ganda dengan 7,144 kematian.

Peru melepasi 8,000 kematian pada Ahad ketika negara itu sedang membuat persiapan untuk membuka semula pusat beli-belah pada Isnin, selepas 99 hari ditutup.

Pakar memaklumkan kekurangan ujian menyebabkan jumlah yang dijangkiti mungkin lebih tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19