Covid-19 bukan buatan manusia – WHO

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi mengesahkan bahawa Covid-19 adalah virus yang wujud secara semula jadi dan bukannya buatan manusia.

Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menekankan perkara itu ketika taklimat media mengenai Covid-19 dan meminta semua pihak berhenti menuduh satu sama lain.

“WHO mempercayai kaedah sains dan bukti, sebab itulah kami mengutamakan sains, penyelesaian dan solidariti, terutama dalam isu Covid-19 ini,” katanya.

Katanya, banyak kajian mengenai asal-usul virus menunjukkan Covid-19 atau SARS-CoV-2, wujud secara semula jadi dan bukannya dari mana-mana institusi.

Tedros mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas seorang saintis berjanji untuk menerbitkan bukti yang menyokong dakwaannya mengatakan virus itu bukan dari alam semula jadi, sebaliknya dicipta di sebuah makmal di Wuhan, China.

Difahamkan, Tedros mungkin merujuk kepada pakar virologi dari Hong Kong, Dr Li-Meng Yan, yang membuat dakwaan terbabit baru-baru ini dalam satu temu bual dengan Fox News, selepas berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Ahli virologi itu, yang kini dalam buangan, turut mendakwa kerajaan China dan WHO mengetahui lebih awal mengenai jangkitan daripada manusia manusia tetapi tidak mengumumkannya.

Katanya, semua laporan hasil kajiannya tidak diendahkan oleh pegawai atasannya, yang juga antara pakar terkemuka bidang virologi dan imunologi global serta mempunyai hubungan rapat dengan WHO.

Beliau juga mendakwa China dan WHO menyedari lebih awal mengenai betapa seriusnya kesan Covid-19 itu jika tidak dibendung segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19