Covid-19: Bunuh orang untuk kurangkan penularan wabak

ABUJA: Pasukan keselamatan Nigeria membunuh lebih ramai orang ketika menguat kuasakan perintah berkurung bagi mengurangkan penularan Covid-19.

Memetik laporan BBC News, saksi pembunuhan terdiri daripada orang awam tampil menghubungi talian atau mengirim rakaman video kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC).

Difahamkan pasukan keselamatan itu sudah membunuh 18 rakyat Nigeria sejak perintah berkurung dilaksanakan di negara itu pada 30 Mac lalu.

Pasukan keselamatan Nigeria memang terkenal dengan reputasi kejam.

Berdasarkan data Majlis Hubungan Luar Negeri, sekurang-kurangnya 1,476 orang terbunuh sepanjang tahun lalu.

NHRC dalam laporannya merekodkan lapan kejadian pembunuhan berasingan tanpa sistem keadilan sah hingga mengakibatkan 18 kematian.

Kumpulan hak asasi itu berkata, pihaknya menerima lebih 100 aduan di 24 daripada 36 negeri Nigeria termasuk Lagos, Ogun dan Abuja.

Ketiga-tiga kawasan itu dilanjutkan tempoh perintah berkurung dua minggu lagi.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan Nigeria tidak memberi maklum balas kepada laporan NHRC.

Awal bulan ini, Polis Nigeria menggalakkan orang awam melaporkan pegawai yang melanggar peraturan.

“Hak rakyat Nigeria tidak akan diketepikan dengan apa-apa alasan pun,” kata kenyataan pihak berkuasa itu dalam Twitter rasmi mereka.

Nigeria yang yang memiliki kira-kira 200 juta populasi merekodkan 407 kes Covid-19 dengan 12 angka maut.